Friday, July 3, 2009

PEKERJA MIGRAN & HAK PEKERJA DI MALAYSIA - Q & A (Bahasa Melayu)

PEKERJA MIGRAN & HAK PEKERJA DI MALAYSIA

Apakah pekerja yang diliputi oleh Akta Kerja 1955?
Semua pekerja yang mendapat gaji tidak melampaui RM1,500.00 se bulan, dan seseorang pekerja yang melakukan kerja manual tanpa mengira jumlah upah se bulan. Adalah pekerja dengan Kontrak Perkhidmatan.

Apakah Kontrak Perkhidmatan?
Sebarang perjanjian (sama ada lisan atau bertulis dan sama ada dinyatakan atau dibayangkan) di mana seseorang itu bersetuju untuk mengambil seseorang yang lain bekerja dan pekerja itu pula bersetuju untuk berkhidmat kepada majikannya sebagai seorang pekerja. Pekerja ada hak mendapat dan menyimpan sesalinan Kontrak Perkhidmatan.

Adakah Buruh/Pekerja Migran termasuk dalam Akta Kerja 1955?
Ya, Pekerja Migran juga diliputi, dan boleh bergantung kepada Akta ini.

Apakah jenis hak yang terkandung dalam Akta Kerja 1955?
Berbagai jenis hak pekerja termasuk jumlah jam kerja maksima, kerja tambah masa dan kadar pembayaran, cuti am berbayar, cuti tahunan berbayar, cuti sakit berbayar, gaji dan jenis potongan yang majikan dibenarkan buat, cuti salin dan faedah lain.

Jika seseorang pekerja sudah menandatangani kontrak dengan majikan, bolehkan pekerja masih bergantung kepada Akta Kerja 1955?
Ya, dia boleh. Jika hak yang terkandung dalam Akta Kerja adalah lebih baik daripada apa yang terkandung dalam Kontrak Perkhidmatan, pekerja berhak mendapatkan hak sapertimana tercatat dalam Akta Kerja 1955. Jika hak terkandung dalam Kontrak Perkhidmatan adalah lebih baik daripada apa yang terkandung dalam Akta Kerja, pekerja berhak menuntuk hak yang lebih baik sapertimana terkandung dalam Kontrak Perkhidmatan tersebut.

Apakah maksud “Waktu Kerja Biasa”?
“Waktu Kerja Biasa” ialah waktu kerja seperti yang dipersetujui di antara majikan dan pekerja dalam kontrak perkhidmatan sebagai waktu-waktu kerja biasa dalam sehari. Waktu kerja biasa tersebut tidak boleh melebihi: 8 jam sehari tidak termasuk waktu rehat; 5 jam bekerja berterusan tanpa rehat sekurang-kurangnya 30 minit; dan 48 jam seminggu.

Atas persetujuan bersama, pekerja boleh bekerja 9 jam sehari tetapi tidak boleh melebihi 48 jam seminggu.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘kerja lebih masa’?
Kerja lebih masa bermakna bilangan jam kerja yang dilakukan melebihi masa kerja normal sehari.

Apakah kadar bayaran kerja lebih masa?

Kadar bayaran kerja lebih masa hendaklah sekurang-kurangnya seperti berikut:
Pada hari kerja biasa, 1 ½ kali kadar gaji sejam untuk hari biasa.
Pada hari rehat, 1 ½ kali kadar gaji sejam untuk kerja hari rehat
Pada cuti am, 1 ½ kali kadar gaji sejam untuk kerja pada cuti am.

Adakah terdapat had kepada bilangan jam seseorang pekerja dibenarkan kerja lebih masa dalam satu bulan?
Seseorang pekerja tidak boleh dikehendaki bekerja lebih masa melebihi 104 jam dalam sebulan..

Adakah wajib bagi kontrak perkhidmatan untuk menyatakan tempoh gaji? Berapakah tempoh gaji yang sepatutnya?
Setiap kontrak perkhidmatan wajib menyatakan tempoh gaji yang tidak melebihi satu bulan. Sekiranya kontrak tersebut tidak menyatakan tempoh gaji tersebut, tempoh tersebut akan dikira sebagai sebulan.

Bilakah gaji harus dibayar kepada pekerja-pekerja?
Gaji (selepas dibuat potongan-potongan seperti yang telah ditetapkan oleh undang-undang) dibayar tidak lewat dari hari ketujuh selepas tamat tempoh gaji. Majikan boleh memohon melanjutkan masa pembayaran gaji daripada Ketua Pengarah Jabatan Buruh Semenanjung Malaysia.

Apakah potongan-potongan seperti yang telah ditetapkan oleh undang-undang?
Ini adalah potongan yang dibenarkan saperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sumbangan keselamatan sosial (SOCSO). Akta Kerja juga membenarkan pemotongan untuk mendapat kembali gaji terlebih dibayar yang telah dibuat dalam jangkamasa 3 bulan sebelum, dan untuk mendapatkan kembali apa-apa pendahuluan gaji yang telah diberikan, di mana jumlah ini tidak boleh melebihi nilai gaji satu bulan.

Apakah jumlah potongan gaji yang dibenarkan oleh undang-undang?
Jumlah maksima potongan gaji yang dibenarkan adalah jumlah tidak melampaui separuh gaji yang harus diterima oleh pekerja bagi bulan tersebut. Pekerja harus dibayar sekurang-kurang separuh jumlah gajinya setiap bulan.

Bilakah gaji harus dibayar kepada pekerja jika berlaku penamatan kontrak perkhidmatan?
Gaji harus dibayar sebaik sahaja kontrak ditamatkan.

Apakah jenis pekerjaan yang mana wanita dilarang melakukannya di bawah Akta? Jenis pekerjaan di mana seseorang wanita dilarang melakukannya adalah seperti berikut:

i. Kerja bawah tanah;
ii.Bekerja di sektor perusahaan/pertanian di antara pukul 10.00 mlm sehingga 5.00 pagi tanpa pengecualian daripada Ketua Pengarah Buruh.

Berapakah kelayakan cuti rehat bagi seorang pekerja yang diliputi di bawah Akta ini? Setiap pekerja adalah layak untuk mendapat cuti satu hari penuh bagi setiap minggu.

Adakah sah dari segi undang-undang bagi majikan untuk meminta pekerjanya bekerja pada hari rehat?
Seseorang pekerja boleh dikehendaki oleh majikannya untuk bekerja pada hari rehatnya dalam keadaan-keadaan seperti berikut: kemalangan, sebenar atau diancam dalam tempat kerjanya; kerja yang mana perlaksanaannya adalah perlu kepada keselamatan masyarakat; kerja yang perlu bagi pertahanan atau keselamatan Malaysia; kerja segera yang harus dilakukan ke atas jentera atau loji; suatu gangguan kerja yang tidak mungkin dapat dijangka; kerja yang harus dilakukan oleh pekerja-pekerja dalam mana-mana kegiatan perusahaan yang perlu kepada ekonomi Malaysia atau mana-mana perkhidmatan perlu sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Perhubungan Perusahaan 1967

Bagaimanakah kadar bayaran kepada pekerja yang diminta bekerja pada hari cuti rehat?
Seseorang pekerja yang dikehendaki bekerja pada hari rehatnya hendaklah dibayar bayaran satu hari tambahan gajinya atas kadar gaji biasanya. (iaitu 2 kali gaji hari kerja biasa)

Berapakah kelayakan cuti am bergaji pekerja dalam setahun?
Seseorang pekerja layak sekurang-kurangnya 10 hari cuti am bergaji dalam setahun. 10 Hari Cuti Am tersebut adalah Hari Pekerja (Mei 1), Hari Kelahiran Yang Di Pertuan Agung, Hari Merdeka (Ogos 31), Hari Keputeraan Sultan atau Hari Wilayah Persekutuan, dan 6 cuti am yang lain yang majikan harus memutuskan dan memberitahu pekerja melalui notis pada permulaan setiap tahun.

Bagaimanakah kadar bayaran kepada pekerja yang diminta bekerja pada hari cuti ini?
Seseorang pekerja layak mendapat 2 hari gaji sebagai tambahan pada kadar gaji biasa jika bekerja pada hari tersebut. (iaitu 3 kali gaji hari kerja biasa)

Berapa harikah kelayakan cuti tahunan bagi seseorang pekerja?
Bekerja kurang dari 2 tahun: - 8 hari setiap tahun
Lebih dari 2 tahun tetapi kurang dari 5 tahun - 12 hari bagi setiap tahun
5 tahun dan lebih - 16 hari bagi setiap tahun

Di mana seorang pekerja yang mengambil cuti tahunan berbayar, menjadi berhak untuk cuti sakit berbayar atau cuti bersalin semasa dalam masa cuti tahunan, pekerja tersebut akan diberikan cuti sakit berbayar atau cuti bersalin, dan cuti tahunan berbayar akan dianggap belum diambil untuk hari-hari pekerja tersebut mengambil cuti sakit berbayar atau cuti bersalin.

Berapakah kelayakan cuti sakit seseorang pekerja dalam setahun?
Kelayakan cuti sakit bergaji setahun adalah:
Kurang dari 2 tahun perkhidmatan - 14 hari
Lebih dari 2 tahun tetapi kurang dari 5 tahun - 18 hari
5 tahun dan lebih - 22 hari

Di mana hospitalisi diperlukan sehingga 60 hari

Apakah keadaan yang menyebabkan pekerja tidak layak mendapat cuti sakit bergaji?
Pekerja tidak layak mendapat cuti sakit bergaji bagi tempoh di mana pekerja berhak mendapat elaun bersalin atau menerima pampasan bagi ketidakupayaan di bawah Akta Pampasan Pekerja 1952 atau Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Di dalam keadaan apakah dianggap bahawa Kontrak Perkhidmatan telah dilanggari oleh pekerja?
Seorang pekerja hendaklah dianggap sebagai telah melangggar kontrak perkhidmatannya jika ia berterusan tidak hadhir kerja selama lebih daripada 2 hari kerja berturut-turut tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada majikannya, melainkan ia mempunyai alas an yang munasabah bagi ketidakhadhiran itu, dan telah memberitahu atau telah mencuba memberitahu majikannya tentang alas an itu sebelum atau pada peluang terawal semasa ketidakhadhiran tersebut.

Di dalam keadaan apakah dianggap bahawa Kontrak Perkhidmatan telah dilanggari oleh majikan?
Seorang majikan hendaklah dianggap sebagai telah melanggar kontrak perkhidmatan apabila gagal membayar gaji dalam masa tidak lewat daripada hari ketujuh selepas hari terakhir bagi mana-mana tempoh upah.

Bolehkah seorang majikan menamatkan kerja seorang pekerja tempatan, dan kemudiannya mengambil seorang pekerja migrant bekerja?
Tidak. Seorang majikan tidak boleh menamatkan kontrak perkhidmatan seorang pekerja tempatan bagi maksud mengambil kerja seseorang pekerja asing. (seksyen 60M)

Bolehkah seorang majikan memberikan layanan berbeda kepada pekerja tempatan dan pekerja asing?
Tidak boleh, Layanan sama harus diberikan kepada semua pekerja. Undang-undang jelas menyatakan bahawa sekiranya pekerja tempatan mengalami diskriminasi terhadapnya berbanding dengan pekerja asing, atau jika pekerja asing mengalami diskriminasi terhadapnya berbanding dengan pekerja tempatan berkenaan terma atau keadaan kerja, pekerja boleh membuat aduan kepada Pejabat Buruh. (seksyen 60L)

Apabila akan berlaku pembuangan kerja, siapakah yang akan mula-mula dibuang kerja?
Biasanya, prinsip terpakaii adalah bahawa pekerja yang akhir sekali diambil masuk bekerja akan dibuang kerja terlebih dahulu. Tetapi, seksyen 60N Akta Kerja 1955 menyatakan bahawa “Sekiranya majikan dikehendaki mengurangkan tenaga kerjanya oleh sebab lebihan pekerja, maka majikan itu tidaklah boleh menamatkan perkhidmatan pekerja tempatan melainkan jika dia telah terlebih dahulu menamatkan perkhidmatan semua pekerja asing yang bekerja dengannya dalam bidang tugas serupa dengan bidang tugas pekerja tempatan itu.

Kami tidak setuju, dan menyatakan bahawa seksyen 60N ini bukan sahaja tidak adil tetapi juga bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menjamin kesamaan. Maka, seksyen 60N adalah tidak sah.

Apakah peraturan yang memperuntukkan kelayakan Faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara (Termination and Lay-off benefits) yang diliputi di bawah Akta ini?
Peraturan-peraturan Kerja (Faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara), 1980

NOTA:- Risalah ini hanya mengandungi prinsip undang-undang asas, dan olehkerana itu adalah lebih baik merujuk terus kepada Akta Kerja 1955 (Employment Act 1955) untuk pernyataan sebenarnya. Pekerja boleh juga pergi ke Pejabat Buruh untuk mendapat nasihat dan juga membuat aduan menuntut hak pekerja. Bantuan nasihat juga boleh diperolehi daripada Pusat Bantuan Guaman Majilis Peguam, dan juga daripada Malaysian Trade Union Congress (MTUC).


* Risalah ini adalah satu hasil usahasama Workers Hub For Change (WH4C), Burma Campaign, Malaysia dan Network of Action for Migrants Malaysia (NAMM).

No comments:

Post a Comment

Post a Comment