Monday, March 18, 2013

SUARAM condemns arrest of 100 over migrant workers and failure to act on employers who are not paring minimum wages

See earlier post, being a background to the statement which SUARAM has issued condemning the arrest of workers....and the failure to act on employers not paying workers minimum wages as required by law
Kenyataan Media: 18hb Mac 2013

PEKERJA DITANGKAP POLIS MANAKALA MAJIKAN DIBERI PENANGGUHAN PELAKSANAAN GAJI MINIMA

SUARAM merujuk kepada berita bertajuk “Pelaksanaan Gaji Minimum: Lebih 100 Warga Nepal Terlibat Tunjuk Perasaan Ditahan” [Sumber: MStar Online(mstar.com.my)] yang diterbitkan pada 17hb  Mac 2013 dan juga beberapa media lain.

Berita itu dengan bangganya menyatakan pihak polis telah berjaya menggagalkan cubaan lebih 5,000 pekerja Nepal mengadakan tunjuk perasaan di tengah bandar tengah hari Ahad setelah mereka mendapat maklumat awal berhubungan perkara itu. Ketua Polis Daerah Muar ACP Mohd Nasir Ramli turut memuji kecekapan pihak polis dalam menghalang protes itu.

SUARAM menegaskan bahawa tiada apa yang patut dibanggakan dengan tindakan polis malah sebenarnya ini menunjukkan pihak polis gagal memahami isu sebenar protes tersebut malah pihak polis telah mencabuli hak asasi pekerja-pekerja ini untuk bebas berhimpun secara aman. Isu pokok ialah majikan gagal laksanakan gaji minima. Golongan pekerja yang terdiri daripada warga Nepal ini, tiada pilihan lain selain daripada menunjukkan ketidakpuasan mereka melalui menganjurkan himpunan aman. Peliknya, semua ditahan sebelum protes berlaku. Apakah kesalahan dan pertuduhan ke atas mereka?

Bukankah tindakan majikan yang tidak mematuhi akta yang telah digubal satu kesalahan? Kenapa patut pekerja luar negara  ini ditahan? Kenapa pula majikan yang tidak mematuhi undang-undang tersebut tidak dibawa ke muka pengadilan? Apakah Kementerian Sumber Manusia tiada komen ke atas penangkapan pekerja-pekerja  Nepal ini? Tidak memadai hanya menyatakan bahawa pelaksanaan gaji minima ditangguhkan ke satu tempoh lain kerana majikan tidak berupaya membayar gaji pekerja luar negara.

SUARAM menggesa pihak polis untuk menghormati Perkara 10 dalam Perlembagaan Malaysia iaitu kebebasan berhimpun, bercakap dan berpersatuan. Setiap individu harus diberi kebebasan dan hak mereka untuk berprotes secara aman bagi menyuarakan pendapat untuk kepentingan bersama. SUARAM menggesa pihak polis supaya segera melepaskan pekerja-pekerja  luar negara yang ditangkap secara ‘random’ yang kononnya tidak mempunyai dokumen sah semasa operasi polis Ahad lepas.

PDRM harus memahami isu periuk nasi kaum pekerja tidak kira tempatan mahupun luar negara. Pekerja Nepal datang ke Malaysia untuk tujuan sara hidup tetapi dieksploitasi oleh golongan majikan bagi tujuan keuntungan kerana mereka umpama buruh murah untuk majikan. Sekiranya polis tidak memahami fakta ini, maka negara hanya akan mempunyai pihak berkuasa yang pandai ikut arahan atasan tanpa sebarang sifat kemanusiaan dalam diri mereka.


SUARAM memahami tanggungjawab pihak polis dalam melaksanakan sebarang arahan yang diberikan. Tetapi pengetahuan asas hak asasi patut difahami dahulu sebelum melaksanakan tugas atas arahan secara membuta tuli.

Diterbitkan oleh,
Thevarajan R
Police Accountability and Reform Desk

--
Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
433A, Jalan 5/46, Gasing Indah,
46000, Petaling Jaya,
Selangor
Malaysia
Tel: +603 77843525
Fax: +603 77843526
Facebook: https://www.facebook.com/suararakyatmalaysia
Twitter:
SUARAMtweets

No comments:

Post a Comment